Garam dan Risiko Darah Tinggi

Jakmas Car Rental
0
DARAH TINGGI

Ketika ini, pengetahuan masyarakat lebih tertumpu kepada bahaya pengambilan gula secara berlebihan dalam kehidupan seharian mereka. Ini kerana, ia bukan sahaja menjadi amalan kehidupan tidak sihat malah menyumbang kepada peningkatan data pesakit diabetis dan obesiti.

Tetapi, tidak bagi garam. Mungkin ia disebabkan oleh kekangan maklumat mahupun penyebaran maklumat mengenai bahaya pengambilan garam secara berlebihan dalam jangka panjang.

Walhal, pengambilan garam tidak terkawal boleh meningkatkan tekanan darah dan berkait rapat dengan kejadian penyakit darah tinggi.

Pelbagai kajian sama ada dalam mahupun luar negara menunjukkan kesan positif yang saling berhubung kait dengan risiko pengambilan garam berlebihan dengan penyakit berkenaan.

Memburukkan lagi keadaan apabila seseorang individu yang menggemari rasa masin mengamalkan pula corak kehidupan sendentari, iaitu gaya hidup tidak aktif serta dibelenggu dengan pelbagai stres.

Ini kerana, sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan sekiranya tidak terkawal mereka berisiko diserang strok dan seterusnya penyakit jantung.

RAMAI RAKYAT MALAYSIA ALAMI DARAH TINGGI

Dianggarkan kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia dewasa berumur lebih 18 tahun kini menghidap penyakit darah tinggi.

Justeru, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik berkata: "Oleh yang demikian, pengurangan pengambilan garam boleh mengurangkan tekanan darah dan seterusnya mengurangkan kejadian strok dan penyakit jantung".

Selain risiko darah tinggi, pengambilan garam berlebihan juga boleh memberi kesan negatif terhadap buah pinggang.

KITA AMBIL TERLALU BANYAK GARAM

Tanpa kita sedari, sebenarnya budaya dan corak pemakanan masyarakat negara ini boleh dikatakan menjurus kepada pengambilan terlalu banyak garam dalam kehidupan seharian.

Mungkin ada mempertikaikan hakikat ini akan tetapi jangan lupa pada faktor 'garam tersembunyi' seperti kicap, cencaluk, belacan, sos, serbuk perencah monosodium glutamate (MSG), makanan siap diproses dan ikan masin.

Malahan, satu kajian rintis mengenai pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah analisis air kencing pada tahun lepas mendapati bahawa sos kicap soya adalah makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi.

Biarpun mungkin secara kasarnya kita telah menggurangkan penggunaan garam, tetapi kombinasi garam tersembunyi dalam bahan berkenaan sedikit sebanyak menyumbang kepada kadar penggunaan garam secara berlebihan.

Ini dapat dilihat apabila (dalam kajian yang sama) kandungan purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah 8.7 gram sehari iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima gram sehari.

Gaya kehidupan masyarakat hari ini yang lebih gemar makan di luar atau siap dimasak, makanan segera juga menghalang seseorang individu itu daripada mengamalkan pemakanan sihat.

BAGAIMANA KURANGKAN?

Bagi mereka yang menggemari makanan masin, sudah tiba masanya corak pemakanan harus diubah.

Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan garam atau menggantikan perencah rasa dengan bahan perisa asli yang lebih berkhasiat dan sedap seperti rempah-ratus dan limau, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM) Dr Tee E. Siong.

"Saya nasihatkan supaya cuba memasak sekurang-kurangnya pada hari minggu kerana ini boleh membantu kita mengawal bahan yang digunakan," katanya.

Selain itu, Menteri Kesihatan juga menggesa orang ramai supaya melaksanakan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan kekalkan tekanan darah (BP) pada paras optimum iaitu 120/80 mmHG atau kurang daripada itu melalui langkah pengurangan garam.

Di samping itu galakan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, aktiviti sihat haruslah dipraktikkan selain mengurangkan pengambilan makanan diproses, segera, diawet, diasin, ditinkan, dibotolkan atau dijeruk.

Semua ini memerlukan komitmen. Mungkin pada awal ia agak sukar namun lama-kelamaan anda akan terbiasa dan akhirnya menjadi amalan bersama keluarga. Lagipun apalah salahnya berkorban 'rasa' untuk hari ini sekiranya ia dapat membantu menyumbang kepada usia panjang anda serta kesihatan yang baik.

Sumber: -- BERNAMA

Post a Comment

0Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
To Top